KUALA LUMPUR: Pengerusi Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD), Mej Jen Dato’ Ts. Muhammad Shafiq Poh Abdullah menyeru seluruh warga KJLJD agar terus memperkasakan kompetensi, profesionalisme dan inovasi dalam mendukung transformasi Tentera Darat (TD) sempena Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) KJLJD Ke-69 yang berlangsung di Padang Kawad Institut Kejuruteraan Tentera Darat (IJED) pada 15 Jul 2026.
Beliau berkata, tema sambutan tahun ini, ‘Memacu Kompetensi, Memperkukuh Keupayaan’, mencerminkan komitmen berterusan KJLJD dalam memperkasa modal insan, meningkatkan keupayaan organisasi serta memastikan kesiagaan aset dan sokongan teknikal sentiasa berada pada tahap optimum.
Menurut beliau, Kor JLJ hendaklah terus menjadi pemacu utama keupayaan teknikal TD melalui penyelenggaraan, pembaikan, pemulihan, inovasi serta sokongan kejuruteraan yang responsif bagi memastikan setiap aset dan sistem persenjataan sentiasa berada pada tahap kesiagaan operasi yang optimum.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan Angkatan Masa Hadapan Domain Daratan (AMH-D²) menuntut seluruh warga KJLJD sentiasa bersedia menguasai teknologi baharu, membudayakan inovasi serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan bagi memenuhi keperluan operasi yang semakin kompleks.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kejayaan KJLJD sepanjang 69 tahun penubuhannya adalah hasil semangat kebersamaan, kesetiaan, disiplin, profesionalisme dan integriti yang sentiasa menjadi pegangan warga kor.
“Jadilah warga Kor JLJ yang sentiasa bersedia menimba ilmu, menguasai teknologi baharu, berfikiran kreatif serta berani melakukan perubahan demi meningkatkan keberkesanan organisasi,” katanya.
Mengakhiri perutusan, beliau menzahirkan keyakinan bahawa seluruh warga KJLJD akan terus melakar kecemerlangan dengan memperkukuh kompetensi modal insan, memperkasa inovasi serta mendukung aspirasi TD bagi memastikan KJLJD kekal relevan sebagai tonggak sokongan teknikal dan kesiagaan TD.
Terdahulu, Pengerusi KJLJD menerima tabik hormat sebelum memeriksa perbarisan yang terdiri daripada empat detasmen berkekuatan 15 pegawai dan 197 anggota LLP, diketuai oleh Pegawai Memerintah 73 Woksyop Divisyen, Lt Kol Ts. Zul Khairi Omran, dengan diiringi Pasukan Pancaragam Kor Armor Diraja.
Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu itu turut menyaksikan lapan anggota LLP menerima kenaikan pangkat sebelum majlis diakhiri dengan acara pemotongan pulut kuning di Hangar Kenderaan A.
Turut hadir, Pengarah KJLJD, Brig Jen Dato’ Ts. Hj Ahmad Jaidi Ali serta Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik Markas Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Brig Jen Ahmad Kassim Daud.
Gambar: Kpl Kenny Roy Jellis, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Muhammad Ammar Najmie



