NEGERI SEMBILAN: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Malek Razak Sulaiman menegaskan bahawa disiplin, penguasaan kemahiran asas ketenteraan dan integriti merupakan elemen penting dalam membentuk anggota tentera yang profesional, berwibawa serta berkeupayaan melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (TLPM) Lelaki Siri 206/2026 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 17 Okt 2026.
“Kesiagaan angkatan bermula daripada kesiagaan diri anggota itu sendiri,” tegas PAT sambil mengingatkan setiap anggota agar sentiasa memperkukuh kemahiran ketenteraan, melaksanakan tugas dengan teliti serta memelihara disiplin dan tingkah laku demi menjaga nama baik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan, semangat setiakawan dan kerjasama antara ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM, selain menyeru para pemerintah agar membimbing anggota baharu secara profesional serta berhemah.
Mengakhiri amanat, beliau menyeru PM agar melaksanakan tanggungjawab dengan jujur dan amanah serta mengamalkan nilai-nilai murni yang diterapkan sepanjang latihan sebagai bekalan untuk berkhidmat dan mempertahankan kedaulatan negara.
Seramai 1,485 PM berjaya menamatkan latihan asas ketenteraan selama enam bulan terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan termasuk Ijazah, Diploma, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Anugerah PM Keseluruhan Terbaik dianugerahkan kepada PM Muhammad Akram Syazwan Farizal manakala Anugerah PM Ketenteraan Terbaik diberikan kepada PM Joenes Charles Febrie dan diikuti dengan Anugerah Kawad Terbaik jatuh kepada PM Muhammad Syahran Hakimi Samsaimun.
Sementara itu, Anugerah Akademik Terbaik pula dinobatkan kepada PM Muhammad Afiq Izzuddin Azman dan Anugerah Jasmani Terbaik disandang oleh PM Mohamad Zaqrul Zakwan Khairul Anuar.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman, Timbalan Panglima Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat dan Panglima Medan Timur Tentera Darat.
Gambar: LKpl Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir, LKpl Nanatasha Ngadan & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran



