MELAKA: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin mengadakan lawatan kerja ke Kem Terendak dan Kem Sungai Udang bagi meninjau pelaksanaan inisiatif kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta tahap kesiapsiagaan pasukan pada 15 Okt 2026.
Setibanya di Kem Terendak, beliau menyempurnakan peluncuran Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS) anjuran Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) bagi membantu warga pertahanan mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Beliau turut meninjau reruai Program Ekonomi MADANI ATM dan Kedai PERNAMA yang menyediakan kemudahan serta sokongan ekonomi kepada komuniti pertahanan.
Lawatan diteruskan ke Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Kem Terendak yang terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Beliau menyempurnakan penyerahan replika cek bernilai RM35,000 bagi membantu menambah baik kemudahan sekolah berkenaan.
Di Kem Sungai Udang, beliau menerima taklimat berkaitan operasi dan tahap kesiapsiagaan 21 Gerup Gerak Khas (GGK) daripada Ketua Staf Markas 21 GGK, Brig Jen Mohd Musyaidi Abdul Mutalib.
Beliau turut meninjau cadangan pembinaan gimnasium terbuka di Gimnasium Tobias dengan anggaran peruntukan RM110,000 di bawah Inisiatif Kem Santuni MADANI LTAT bagi meningkatkan kemudahan latihan fizikal anggota.
Dalam lawatan sama, MENHAN menyampaikan sumbangan kebajikan kepada 38 anggota dan waris 21 GGK yang berdepan masalah kesihatan kronik.
Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap kebajikan anggota dan keluarga, selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan warga pertahanan tanpa mengabaikan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan keselamatan negara.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman, Ketua Staf ATM, Lt Jen Dato’ Seri Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi dan Pengerusi PERNAMA, Dato’ Sri Iskandar Mizal Mahmood.
Gambar: Kpl Kenny Roy Jellis, Kpl Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran




