KEDAH: Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) membuktikan tahap kesiagaan yang tinggi melalui pelaksanaan latihan bersama apabila 10 Briged (Para) dan Batalyon Infanteri Para Raider 431/Satria Setia Perkasa berjaya menamatkan Eksesais LINUD MALINDO 2026 yang telah berlangsung di sekitar Kem Terendak, Melaka dan Kawasan Am Yan, Kedah bermula dari 28 Sep hingga 4 Okt 2026.
Eksesais bilateral antara kedua negara ini melibatkan seramai 13 pegawai dan 122 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berkonsepkan Securing Point of Entry (POE) dengan pelaksanaan Airborne Operation diikuti Tactical Advance to Battle (TAB) bagi merampas, menyelamat dan mempertahankan POE serta Critical Objectives menerusi konsep Seize, Secure and Hold.
Antara objektif pelaksanaan eksesais ini adalah untuk meningkatkan hubungan profesional dan interoperabiliti antara TDM dengan TNI-AD, di samping memperkukuh sinergi kedua-dua angkatan dalam melaksanakan Airborne Operation serta menilai keberkesanan doktrin dan Prosedur Tetap (Protap) MALINDO yang diguna pakai.
Panglima 10 Briged (Para) menyifatkan eksesais ini sebagai platform penting dalam memperkukuh kerjasama bilateral antara TDM dan TNI-AD, khususnya dalam aspek Operasi Lintas Udara sekali gus meningkatkan kefahaman terhadap pelaksanaan operasi bersama.
“Melalui pelaksanaan ini, kedua-dua angkatan berpeluang berkongsi pengalaman, bertukar-tukar pengetahuan serta meningkatkan kefahaman terhadap taktik, teknik dan prosedur operasi yang diguna pakai oleh masing-masing.
“Latihan bersama ini juga memberikan ruang kepada para pegawai dan anggota LLP untuk menguji tahap kesiagaan, meningkatkan kemahiran profesional serta memperkukuh keupayaan bekerja sebagai satu pasukan dalam persekitaran operasi yang mencabar.
“Segala pengalaman dan pengajaran yang diperoleh sepanjang eksesais ini akan menjadi nilai tambah yang amat bermakna kepada pembangunan keupayaan serta kesiagaan pasukan masing-masing,” tegas beliau semasa berucap dalam Upacara Penutup Eksesais LINUD MALINDO 2026 di Jambatan Pulau Bunting, Yan pada 4 Okt 2026.
Tambahnya lagi, eksesais ini bukan hanya mencerminkan komitmen kedua-dua negara, malah turut mencerminkan keistimewaan hubungan persahabatan antara Malaysia-Indonesia yang sekian lama terjalin berteraskan sejarah, budaya, nilai serumpun serta kepentingan bersama dalam memelihara keamanan dan kestabilan rantau ini.
Turut hadir, Ketua Staf Div Inf 3/Kostrad, Brig Jen Fadli Mulyono, Pegawai Memerintah Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Lt Kol Fazrul Mohd Fadir dan Pegawai Staf 1 Latih Markas 10 Briged (Para), Lt Kol Efendi Abd Wahab.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran
Kredit : Media 10 Bgd (Para) & Media 9 RAMD (Para)


