PAHANG: Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (TKPPP) merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja (KRD), Mej Jen Abu Hashim Jamaludin menegaskan bahawa tanggungjawab perisikan bukan sekadar tertumpu kepada kecekapan mengumpul dan menganalisis maklumat, malah menuntut ketajaman pemikiran, ketepatan penilaian serta keupayaan menjangka ancaman termasuk dalam domain siber dan informasi.
Beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan penghayatan nilai disiplin, integriti dan kerahsiaan yang menjadi tunjang kekuatan setiap warga perisikan.
“Jadikanlah disiplin sebagai pegangan, integriti sebagai benteng dan profesionalisme sebagai budaya dalam setiap pelaksanaan tugas,” tegas beliau ketika menyampaikan ucapan sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KRD Ke-57 di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (KP ATM) pada 7 Nov 2026.
Dalam ucapan tersebut, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada mantan kepimpinan dan veteran KRD atas segala jasa serta pengorbanan yang menjadi asas kepada kecemerlangan kor sehingga kini.
Aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota serta keluarga turut diberikan perhatian kerana sokongan keluarga merupakan antara faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan seseorang anggota.
Sehubungan itu, barisan kepimpinan diseru agar sentiasa mengimbangi ketegasan dalam pelaksanaan tugas dengan keprihatinan terhadap kebajikan anggota di bawah pemerintahan masing-masing.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru seluruh warga KRD agar sentiasa meningkatkan kompetensi, menguasai perkembangan teknologi dan memantapkan keupayaan perisikan bagi memastikan kor kekal progresif, tangkas serta relevan dalam mendukung pertahanan negara.
Terdahulu, ketibaan TKPPP disambut oleh Komandan KP ATM, Kol Maszuraidy Masduki sebelum menerima tabik hormat daripada Ketua Perbarisan, Lt Kol Mohammad Zharif Abdul Malik dari Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
Perbarisan yang dilaksanakan dengan konsep Berjalan Lalu itu melibatkan empat detasmen terdiri daripada 15 pegawai dan 157 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP), diiringi pasukan tambor daripada Batalion Ke-12 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) (12 RAMD (Mek)).
Sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan warga kor, TKPPP turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan KRD kepada tiga pegawai dan tujuh anggota LLP bagi kategori Penuntut Terbaik Kecemerlangan Kursus Tahun 2026, Anugerah Khas Jurulatih Tahun 2026 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025.
Usai perbarisan, acara diteruskan dengan jamuan makan dan upacara memotong pulut kuning sempena HUT KRD Ke-57 di Dewan Serbaguna KP ATM, sebelum diakhiri dengan Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil di Surau Thoriq bin Ziyad.
Turut hadir, Asisten Ketua Staf (AKS) J2 Markas Angkatan Bersama, Mej Jen Dato’ Saharudin Harun dan AKS Bahagian Perisikan (G2), Mej Jen Dato’ Faridhulathroth Hj Hashim.
Gambar: LKpl Nanatasha Ngadan & Pbt Muhammad Amir Hamzah Mohd Yusri


