KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tentera Darat (TD) dan Penganugerahan Sayap Juruterbang TD di Dewan Tanjung, Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada 26 Okt 2026.
Majlis berkenaan merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian, komitmen dan dedikasi pegawai yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam melaksanakan tanggungjawab, selain mencerminkan usaha berterusan TD dalam membangunkan kepimpinan serta memperkukuh profesionalisme warga pasukan.
Majlis dimulakan dengan kenaikan pangkat Brig Jen didahului Kol Mohd Haryzal Ismail yang menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Perancang Strategik, Bahagian Perancangan Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) dan Kol Muhamad Noor Jasmani yang menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Tadbir dan Logistik, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).
Seterusnya, dua pegawai dinaikkan ke pangkat Kol melibatkan Lt Kol Taufan Dato’ Paduka Hj Ghazali yang menjawat jawatan sebagai Pengarah Operasi Domestik J3 – Markas Angkatan Bersama (MK AB) dan Lt Kol Asmadi Abu Hasan yang menjawat jawatan sebagai Pegawai Memerintah WTKL.
Turut dipakaikan pangkat ialah lima pegawai yang dinaikkan ke pangkat Lt Kol serta dua Pegawai Kadet ditauliahkan pangkat Lt M.
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung Majlis Penganugerahan Sayap Juruterbang TD kepada tiga pegawai yang telah menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 67/2025 pada 15 Ogos 2026 di Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kedah antaranya, Kapt Muhammad Asyraf Azman, Kapt Mohamad Bakhit Aiman Harun dan Kapt Muhammad Nursyafiq Hafizi Mohd Dandan.
PTD dalam ucapannya menegaskan bahawa kepercayaan yang diberikan kepada pegawai yang dinaikkan pangkat perlu diterjemahkan melalui komitmen, ketaatan dan kesetiaan dalam memacu pemodenan serta transformasi TD, selaras dengan perancangan pembangunan Angkatan Masa Hadapan
“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mempersiapkan TD bukan sahaja bagi menghadapi keperluan semasa, tetapi juga ancaman serta cabaran pada masa hadapan. TD memerlukan semangat, buah fikiran dan daya usaha saudara-saudara sekalian,” ujar PTD.
Beliau turut mengingatkan bahawa pelaburan dalam pembangunan modal insan oleh TD dan ATM merupakan satu usaha besar yang perlu dibalas melalui prestasi, dedikasi dan komitmen berterusan demi kepentingan organisasi.
Majlis diakhiri dengan penyerahan bendera kepada Persatuan Menembak TD sebagai simbol sokongan terhadap penyertaan pasukan dalam Pertandingan ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) yang dijadualkan berlangsung dari 30 Okt hingga 19 Nov 2026 di Kompleks Lapang Sasar Elektronik, Kem Terendak, Melaka.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat dan Panglima Medan Timur Tentera Darat.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhamad Amar Najmie Misran





