KUALA LUMPUR: Pengerusi Kor Perkhidmatan Am (KPA), Brig Jen Zulkifle Hashim menyeru seluruh warga kor agar terus memperkukuh profesionalisme, integriti dan semangat kebersamaan dalam mendukung transformasi Tentera Darat (TD) ke arah angkatan yang lebih moden, bersepadu dan berdaya saing sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KPA Ke-68 di Padang Kawad Garison KL pada 17 Jul 2026.
Beliau berkata, walaupun sambutan tahun ini diadakan secara sederhana dan berhemat, ia tetap mencerminkan komitmen warga KPA dalam mengekalkan tradisi rejimental serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut beliau, KPA yang kini berusia 68 tahun terus memainkan peranan penting sebagai tulang belakang pengurusan perkhidmatan ATM menerusi empat komponen utamanya iaitu Gaji, Kerani, Pendidikan dan Perhubungan Raya.
“Walaupun bekerja di sebalik tabir, warga Kor Perkhidmatan Am merupakan ‘unsung heroes’ yang menjadi tulang belakang kekuatan moral dan kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia.”
Beliau turut menegaskan bahawa KPA akan terus menyokong transformasi TD dengan memperkasa kompetensi, pendigitalan serta komunikasi strategik bagi menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
“Kor Perkhidmatan Am akan terus teguh menyokong transformasi Tentera Darat ke arah angkatan masa hadapan yang moden, pintar, bersepadu dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.”
Beliau mengakhiri ucapan dengan menyeru seluruh warga KPA agar terus menghayati cogan kata ‘Berbakti’, memperkukuh perpaduan serta melaksanakan setiap amanah dengan penuh dedikasi demi kecemerlangan TD.
Terdahulu, Pengerusi KPA menerima tabik hormat sebelum memeriksa perbarisan yang terdiri daripada tiga detasmen berkekuatan seramai 12 pegawai dan 105 anggota LLP diketuai oleh Lt Kol Mohammad Muzafar Salji dari Komponen Perhubungan Raya dengan diiringi Pancaragam Pusat Tentera Laut Diraja Malaysia.
Perbarisan berkonsepkan statik itu turut menyaksikan enam anggota LLP menerima kenaikan pangkat sebelum majlis diteruskan dengan upacara Penyampaian Anugerah Kecemerlangan dan pemotongan pulut kuning di Dewan Seroja.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan ATM, Brig Jen Mohd Sharif Ishak dan Pengarah Kewangan Markas Tentera Darat G5, Brig Jen Mohd Lutpi Taufik Che Mat Min.
Gambar: Sjn Mohamad Ammirul Ashraf, LKpl Nik Ahmad Asyraaf, Pbt Muhammad Amir Hamzah & Pbt Muhammad Ammar Najmie




