Bersama Pemimpin

Sukan Dua Jiwa Satu Hati Menyatukan Badan Beruniform

MELAKA: Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati dan Sukan Antara Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka 2026 menjadi acara utama Kerajaan Negeri yang menghimpunkan Angkatan Tentera Malaysia, agensi awam, pihak berkuasa tempatan serta sekolah-sekolah di seluruh negeri.

Inisiatif ini bertujuan memperkukuh hubungan dan kerjasama antara badan beruniform menerusi pendekatan Whole of Government dan Whole of Society, selaras aspirasi Kertas Putih Pertahanan Malaysia.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyempurnakan gimik pelancaran di Dataran Parawood, Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja pada 18 Julai 2026.

Pelancaran turut diserikan dengan Demonstrasi Keupayaan Dinamik yang melibatkan Tentera Darat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia. Demonstrasi ini memperlihatkan keupayaan operasi dan koordinasi antara agensi dalam menghadapi situasi kecemasan.

Antara pengisian utama ialah persembahan seni mempertahankan diri dan pengendalian T-Baton oleh RELA, simulasi operasi PDRM bersama Unit K-9 dalam menumpaskan kes samun, serta latihan menara gabungan 10 Briged Para dan JBPM yang mempamerkan teknik abseiling, rappelling, fast roping, flying fox dan pemindahan mangsa menggunakan pengusung.

Majlis diakhiri dengan ucapan Ketua Menteri Melaka yang menandakan bermulanya kejohanan dalam semangat perpaduan, kecergasan dan kerjasama strategik.

Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Hj Rais Datuk Wira Yasin, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Hj Sani S.Omar dan Panglima 10 Briged (Para), Brig Jen Dato’ Khairul Anwar Soib.

Gambar: Kpl Mohammad Shukri, Pbt Meor Danish Aniq, Pbt Nanatasha Ngadan & Pbt Muhammad Ammar Najmie

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button