KUALA LUMPUR: Pengerusi Kor Ordnans Diraja (KOD), Brig Jen Mohd Ridza Deris menegaskan KOD perlu terus memperkukuh tahap profesionalisme, meningkatkan penguasaan ilmu serta memperkasakan keupayaan organisasi bagi memastikan kor itu kekal relevan dalam mendukung keperluan logistik Tentera Darat (TD) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada era yang semakin mencabar.
“Perubahan landskap pertahanan yang berkembang pesat menuntut setiap pegawai dan anggota sentiasa bersedia dengan pengetahuan, kemahiran serta keupayaan menyesuaikan diri terhadap keperluan semasa”, tegasnya ketika menyampaikan amanat sempena Perbarisan Hari KOD Ke-69 di Padang Kawad Kem Batu Kentomen pada 25 Jul 2026.
Perbarisan melibatkan seramai 15 pegawai dan 149 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terdiri dari empat detasmen diketuai oleh Lt Kol Zaidi Kassim dari 91 Depot Pusat KOD dengan diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja pimpinan Kapt Mohd Fahmi Harun.
Dalam amanat Pengerusi KOD, beliau menggariskan empat teras utama sebagai panduan kepada seluruh warganya dalam memperkukuh kecemerlangan kor.
Pertama, Kukuhkan Ilmu di Dada yang memberi penekanan kepada budaya pembelajaran berterusan bagi meningkatkan kompetensi teknikal dan profesional dalam kalangan warga KOD selain menggesa setiap pemerintah pasukan memainkan peranan aktif membangunkan kepakaran anggota di bawah seliaan masing-masing.
Teras Kedua, Berkeperibadian Unggul yang menyentuh berkenaan pembentukan sahsiah dan integriti yang tinggi sebagai benteng daripada gejala jenayah, salah laku serta pelanggaran disiplin di samping menjadi perisai kepada semua demi memastikan kecemerlangan dalam melaksanakan tugas di amanahkan.
Teras Ketiga, Ketahanan Organisasi menuntut warganya terus memperkukuhkan keupayaan bagi memastikan bantuan ordnans kepada TD dapat dilaksanakan secara berkesan walaupun berdepan perubahan persekitaran operasi.
Terakhir, Pengurusan Stor yang Cemerlang memfokuskan kepada pengurusan aset dan stor lebih sistematik, cekap serta berkesan bagi menyokong kesiagaan operasi pasukan.
Sepanjang hampir tujuh dekad penubuhan KOD telah melalui pelbagai proses transformasi dan pemodenan seiring perkembangan TD Malaysia serta ATM.
Berpegang kepada moto Berkhidmat dan Membantu, KOD terus memperkukuh peranan sebagai tonggak sokongan logistik melalui pembangunan kepakaran sumber manusia serta pengukuhan struktur organisasi.
“KOD sentiasa menyokong hala tuju strategik yang dirancang di peringkat TD dan ATM termasuk Pelaksanaan Angkatan Masa Hadapan (AMH) Strategi Domain Daratan yang bertujuan memperkukuhkan organisasi secara menyeluruh.
“Perubahan yang berlaku hari ini amat pantas dan dinamik. Justeru, setiap warga KOD perlu sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran agar mampu memenuhi tuntutan operasi masa hadapan.
“Saya menyeru seluruh warga KOD supaya terus berganding bahu, bersatu hati serta mengekalkan semangat setiakawan yang tinggi dalam menghadapi setiap cabaran, di samping memelihara nama baik KOD agar terus disegani dan dihormati,” katanya.
Sebelum penyampaian amanat, beliau turut menyampaikan Sijil Penghargaan Pengerusi KOD kepada tujuh pegawai dan enam anggota LLP sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan mereka dalam melaksanakan tugas.
Turut hadir, Brig Jen Noor Husny Alias, Mantan Timbalan Panglima Logistik TD dan Brig Jen Hj Mohd Athiyah Hj Hasan, Pengarah Kesiagaan Logistik, MK TD – G4.
Gambar: Sjn Mohamad Ammirul Ashraf Asri, Kpl Kenny Jellis, Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran


