SELANGOR: Sebagai tanda penghargaan dan penghormatan terhadap jasa serta sumbangan tokoh terdahulu dalam perkhidmatan perisikan pertahanan, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Lt Jen Dato’ Hj Fazal Hj Abdul Rahman mengadakan lawatan rasmi ke atas Mantan KPPP Keenam dan Kelapan, Lt Jen Datuk Abdullah Samsudin (Bersara) di Ampang pada 12 Ogos 2026.
Lawatan tersebut menjadi wadah menghargai jasa, pengorbanan dan sumbangan besar Lt Jen Datuk Abdullah (Bersara) sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya dalam bidang perisikan dan keselamatan negara, di samping meneruskan hubungan erat antara kepimpinan semasa dengan tokoh terdahulu perkhidmatan.
Mantan KPPP Keenam dan Kelapan dilahirkan pada 20 Okt 1930 di Teluk Air Tawar, Pulau Pinang merupakan antara kumpulan awal pegawai Rejimen Persekutuan yang dikenali sebagai “Templer’s Men” di bawah didikan General Sir Gerald Templer.
Beliau menerima latihan ketenteraan di Eaton Hall dan Royal Military Academy Sandhurst, England serta telah menabur bakti selama 33 tahun dalam ATM.
Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah terlibat dalam operasi hutan menentang pengganas komunis di Tanah Melayu selain menyertai misi pengaman antarabangsa semasa Krisis Congo pada era 1960-an.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai Pengarah National Task Force dari tahun 1983 hingga 1984 sebelum menamatkan perkhidmatan ketenteraan pada tahun 1985 dengan pangkat Lt Jen.
Selepas bersara, beliau terus menyumbang bakti kepada negara dan masyarakat menerusi pelbagai bidang termasuk berkhidmat sebagai Assistant Secretary General, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) dari tahun 1986 hingga 1988 dan sekali lagi bagi tempoh 1994 hingga 1999.
Beliau turut terlibat dalam Jawatankuasa Pemulihan Minda dan Jiwa Komunis bagi membantu bekas anggota komunis kembali ke pangkuan masyarakat.
Atas jasa dan sumbangan beliau telah dianugerahkan MRCS Excellent Service Medal pada tahun 2006 serta Distinguished Medal pada 8 Mei 2010.
Beliau turut diberikan pengiktirafan sebagai Felo oleh Persatuan Sejarah Malaysia atas sumbangan besar beliau terhadap sejarah dan negara.
Pelaksanaan lawatan seumpama ini mencerminkan penghargaan KPPP serta warga perisikan pertahanan terhadap jasa dan pengorbanan kepimpinan terdahulu, di samping memelihara kesinambungan legasi, nilai serta semangat perkhidmatan dalam memperkukuh kesiagaan perisikan pertahanan demi kepentingan dan keselamatan negara.
Turut hadir, Brig Jen Dato’ Azhar Tahir (Bersara), Pengarah Bantuan, Kol Chula Endiang@Esok, PS 1 Bantuan, Lt Kol Fauziah Nor Osman, Penasihat Ketenteraan KPPP, Lt Kol Khairul Anwar Affendi, Lt Kol Kadir Lakasauk (Bersara) dan SMR KRD, PW I Mohamad Syahrul Azizi Mohd Sokri.


