KUALA LUMPUR: Panglima Logistik Tentera Darat (TD) merangkap Pengerusi Kor Perkhidmatan Diraja (KPD), Mej Jen Dato’ Hj Abd Hafiz Ahmad menyeru seluruh warga KPD agar terus memperkukuh profesionalisme, integriti dan semangat kebersamaan dalam memastikan kor terus kekal sebagai tulang belakang sokongan logistik TD.
Beliau berkata, KPD yang kini menjangkau usia 69 tahun telah berkembang menjadi sebuah organisasi logistik yang lebih berkeupayaan hasil pengorbanan, dedikasi dan komitmen seluruh warga kor dari generasi ke generasi.
Menurut beliau, landskap keselamatan yang semakin kompleks menuntut setiap warga kor sentiasa bersedia menghadapi perubahan dengan berpegang teguh kepada prinsip ‘Kemahuan Untuk Menang’.
“Kemahuan untuk menang bukan sekadar slogan, tetapi satu tekad yang perlu wujud dalam setiap warga kor. Kejayaan sebenar ialah kejayaan yang dicapai dengan integriti, kejujuran dan maruah,” katanya ketika menyampaikan perutusan sempena Hari Ulang Tahun (HUT) KPD Ke-69 yang berlangsung di Wisma Transit Kuala Lumpur pada 25 Jul 2026.
Beliau turut menegaskan bahawa KPD akan terus memperkukuhkan pembangunan kepimpinan, organisasi, aset serta latihan bagi memastikan kesiagaan logistik TD sentiasa berada pada tahap terbaik dalam memenuhi keperluan operasi semasa dan masa hadapan.
“Nama dan struktur mungkin berubah mengikut keperluan semasa, namun nilai, budaya kerja, semangat setiakawan dan warisan Kor Perkhidmatan Diraja akan terus kekal utuh,” ujarnya.
Mengakhiri perutusan, beliau berharap seluruh warga KPD terus mengekalkan komitmen, semangat berpasukan dan budaya kerja cemerlang supaya kor kekal relevan, profesional serta berupaya mendukung keperluan operasi TD pada masa hadapan.
Terdahulu, Pengerusi KPD telah menyempurnakan acara pemakaian pangkat melibatkan 10 anggota LLP serta menyampaikan Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 kepada 15 pegawai dan anggota sebagai penghargaan atas kecemerlangan perkhidmatan mereka.
Sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan warga KPD, turut diadakan penyampaian sumbangan kebajikan kepada lapan waris anggota yang mengalami masalah kesihatan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.
Sambutan kemudiannya diteruskan dengan jamuan HUT KPD Ke-69 yang diserikan dengan acara memotong pulut kuning sebagai simbolik ulang tahun penubuhan kor.
Turut hadir, Asisten Ketua Staf Bahagian Logistik (G4), Brig Jen Log. Muzafar Shah Mosam Shah.
Gambar: Pbt Nanatasha Ngadan




