Bersama PemimpinSukan

1 Div Julang Piala PTD 2026

KUALA LUMPUR: Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Panglima Tentera Darat (PTD) Tahun 2026 selepas menewaskan 4 Div menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Bola A, Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 29 Okt 2026.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi bertenaga dengan corak permainan seimbang, selain memperlihatkan disiplin tinggi dalam mengatur serangan dan memperkukuh benteng pertahanan sepanjang 90 minit perlawanan.

Namun, kebuntuan jaringan berterusan sehingga tamat permainan, sekali gus menyaksikan penentuan juara terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Dalam detik penuh debaran, 1 Div tampil lebih tenang dan berkesan menyempurnakan sepakan penalti untuk mencatat kemenangan 3-0, sekali gus mengesahkan keunggulan mereka sebagai juara kejohanan edisi 2026.

Majlis penyampaian hadiah dan anugerah disempurnakan oleh PTD, Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman sebagai penghargaan terhadap pencapaian pasukan serta prestasi cemerlang pemain sepanjang kejohanan.

Penganjuran kejohanan ini bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat dan memperkukuh kecergasan fizikal, malah menyemai semangat juang, disiplin serta daya saing dalam kalangan warga Tentera Darat (TD), selaras dengan slogan ‘Kemahuan Untuk Menang.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat serta Panglima-Panglima Formasi TD.

Gambar: Sjn Mohamad Ammirul Ashraf Asri & LKpl Meor Danish Aniq Mohd Faizul

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button