KUALA LUMPUR: Seramai 70 pegawai terlibat dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tauliah Kehormat, Pegawai Kanan Sukarela dan Pegawai Tauliah Baharu Askar Wataniah yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman bertempat di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 14 Ogos 2026.
PTD dalam ucapannya menegaskan bahawa pangkat perlu diterjemahkan melalui kepimpinan berintegriti, profesionalisme serta komitmen tinggi.
“Pangkat bukanlah ukuran kemuliaan seseorang pegawai, tetapi merupakan lambang kepercayaan yang diberikan oleh organisasi.”
Beliau turut menekankan peranan Askar Wataniah sebagai pelengkap dan force multiplier kepada Angkatan Tetap, khususnya dalam menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks.
“Kekuatan sebenar Askar Wataniah tidak hanya terletak pada jumlah keanggotaannya, tetapi juga pada kepelbagaian kepakaran, pengalaman dan latar belakang profesional.”
Dalam pada itu, beliau menyeru warga Askar Wataniah meningkatkan kompetensi melalui latihan berterusan, penguasaan ilmu dan kemahiran ketenteraan bagi memastikan pasukan sentiasa relevan, diyakini dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Kejayaan sebenar bukan diukur pada pangkat yang disandang, sebaliknya melalui nilai kepimpinan, sumbangan dan legasi yang ditinggalkan kepada organisasi,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad, Tengku Temenggong Terengganu merangkap Komander Rejimen 512 Askar Wataniah, Tengku Sri Temenggong Raja Dato’ Seri Tengku Baharudin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.
Gambar: LKpl Nanatasha Ngadan & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran


