KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman mengingatkan setiap pegawai yang dianugerahkan pangkat supaya bersedia memikul amanah yang lebih besar, sambil menegaskan bahawa seorang pemimpin tidak lagi mempunyai ruang untuk mengelak daripada tanggungjawab.
Menurut beliau, pangkat yang disandang bukan sekadar simbol pengiktirafan terhadap prestasi, sebaliknya merupakan manifestasi kepercayaan organisasi terhadap keupayaan seseorang untuk memimpin.
“Sebaik sahaja majlis ini selesai, anda bukan lagi orang yang sama, anda kini adalah seorang pemimpin yang memegang tanggungjawab yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai dan Penyampaian Pisau Tempur Pegawai Kanan TD di Wisma Perwira TD pada 1 Jul 2026.
Beliau berkata, setiap individu yang diberi tampuk pemerintahan perlu memahami bahawa kegagalan dalam melaksanakan amanah bukan sahaja mencerminkan kelemahan diri, malah memberi kesan kepada keseluruhan rantaian kepimpinan.
“Apabila anda memegang tampuk jawatan dan pemerintahan, tiada lagi ruang untuk menuding jari dan tiada lagi alasan untuk mengelak daripada tanggungjawab kerana setiap kesilapan individu akan dihukum sebagai kegagalan jalur kepimpinan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, PTD turut menggesa semua pegawai agar mengamalkan kepimpinan yang berteraskan kebijaksanaan, pertimbangan yang matang serta empati terhadap anggota bawahan bagi memastikan risiko terhadap organisasi dapat diurus dengan berkesan.
Seramai 25 Pegawai Kanan merangkumi seorang Pegawai Tugas Khas (STK) dan tujuh Pegawai Tugas Ikhtisas (STI) menerima kenaikan pangkat serta pelantikan jawatan yang terdiri dari dua pegawai kanan dinaikkan pangkat ke Mej Jen, tiga ke Brig Jen, tujuh ke Kol, 13 ke Lt Kol, seorang anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) berpangkat Sjn turut ditauliahkan sebagai Lt Muda STK, manakala tujuh Lt Muda STI baharu akan ditempatkan dalam Perkhidmatan Perubatan TD.
Di samping itu, PTD turut menyampaikan Anugerah Pisau Tempur kepada Brig Jen Dato’ Ts Hamidi Achin, Brig Jen Fissol Abd Hadi dan Brig Jen Mohd Lutpi Taufik Che Mat Min sebagai pengiktirafan atas pencapaian mereka.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat serta Ketua Staf Tentera Darat.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhammad Amir Hamzah Mohd Yusri

