NEGERI SEMBILAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya melaksanakan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2026 yang memperlihatkan tahap kesiapsiagaan tempur tertinggi serta keupayaan operasi bersepadu melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin pada 30 Jun 2026.
Latihan yang disaksikan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman ini bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan tempur ATM, di samping mempamerkan keupayaan sistem persenjataan dari aspek manuver dan kuasa tembakan.
Latihan ini juga bertindak sebagai platform untuk mengekalkan kompetensi anggota dalam pelaksanaan latihan tembakan peluru hidup berskala besar serta memberi pendedahan kepada penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia Bersama (KPSMB) mengenai konsep Combined Arms Manoeuvre dalam persekitaran operasi sebenar.
Pelaksanaan latihan menyaksikan pengoperasian pelbagai aset strategik ATM termasuk kereta kebal PT-91M Pendekar, kenderaan perisai AV8 Gempita, ACV 300 Adnan dan MIFV, sistem artileri Astros II serta pesawat pejuang F/A-18D Hornet dan SU-30MKM.
Selain itu, penggunaan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) FLYEYE dan Matrice-30 turut diintegrasikan bagi menyokong misi perisikan serta penilaian kerosakan sasaran secara masa nyata.
Antara segmen utama yang dipamerkan ialah operasi gabungan darat dan udara menerusi bantuan tembakan artileri yang disusuli serangan udara tepat ke sasaran.
Latihan ini turut memperagakan demonstrasi penyusupan dan pengekstrakan pantas pasukan khas selain pelaksanaan prosedur taktikal bagi menangani malfungsi senjata serta pemulihan kenderaan perisai di medan operasi.
Gambar: Kpl Mohammad Shukri Suhaimi, Pbt Muhammad Amir Hamzah & Pbt Muhammad Ammar Najmie




