Bersama PemimpinPenghargaanVeteran

Hari Pahlawan 2026: Tujuh Wira Ulu Legong Terus Dikenang

PUTRAJAYA: Pengorbanan tujuh anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam Peristiwa Ulu Legong, Kedah, kembali dikenang menerusi persembahan khas pada Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan Tahun 2026 di Dataran Pahlawan Negara pada 31 Jul 2026.

Peristiwa yang menjadi antara episod penting perjuangan pasukan keselamatan dalam menentang ancaman pengganas komunis itu dipersembahkan bagi mengimbau keberanian dan pengorbanan anggota yang gugur ketika melaksanakan tanggungjawab mempertahankan keamanan negara.

Tujuh anggota yang terkorban ialah LKpl Hashim Sulaiman, Pbt Rosli Mat Nayan, Pbt Mazlim Wasal, Pbt Md Mendeka Ismail, Pbt Jamil Mahmud, Pbt Mohd Khambali Mohd Sodeli serta Pbt Jamil Abd Hamid, manakala dua anggota yang cedera parah ialah Pbt Md Said Adam dan Pbt Shafei Kasim.

Persembahan berkenaan bukan sekadar mengimbas kembali peristiwa yang berlaku, malah menjadi simbol penghormatan kepada jasa dan pengorbanan mereka yang telah memberikan segala-galanya demi keselamatan dan kedaulatan negara.

Terdahulu, ketibaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail, disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Malek Razak Sulaiman, sebelum menerima tabik hormat daripada gabungan kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terdiri daripada 14 pegawai dan 507 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai Kdr Wan Mohamad Firdaus Wan Ghazali TLDM.

Upacara dimulakan dengan Tiupan Paluan Akhir atau Last Post sebelum Jalur Gemilang diturunkan sebagai tanda penghormatan kepada anggota yang telah gugur dalam perjuangan.

Para hadirin turut diperdengarkan deklamasi sajak selepas persembahan khas Peristiwa Ulu Legong dipentaskan, sekali gus menghidupkan kembali kisah perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan dalam menghadapi ancaman pengganas komunis.

Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan yang diraikan sejak tahun 1960 merupakan manifestasi penghormatan kepada pegawai dan anggota ATM serta PDRM yang telah berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara, selain memperkukuh semangat ketaatsetiaan, kemegahan dan pengabdian kepada raja dan negara.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Sen. Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Polis Negara, Insp Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Mohd Khalid Hj Ismail.

Gambar: Kpl Mohammad Shukri, LKpl Nik Ahmad Asyraaf, LKpl Tuan Mohammad Farizal & Pbt Muhammad Ammar Najmie

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button