KUALA LUMPUR: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) merangkap Pengerusi Lembaga Sukan TD menyeru semua Pengerusi Persatuan Sukan Tentera Darat (TD) yang baharu dilantik agar memikul amanah dengan penuh integriti, profesionalisme dan komitmen bagi memastikan kecemerlangan sukan TD terus diperkasakan.
Beliau berkata, pelantikan 18 pengerusi baharu serta lima pengerusi yang dikekalkan adalah selaras dengan penstrukturan semula Angkatan Masa Hadapan (AMH) dan mencerminkan keyakinan kepimpinan TD terhadap keupayaan mereka menerajui persatuan sukan masing-masing.
“Pelantikan ini mencerminkan keyakinan kepimpinan Tentera Darat terhadap kemampuan dan kredibiliti saudara untuk menerajui persatuan sukan masing-masing.
“Amanah ini perlu dipikul dengan penuh integriti, profesionalisme dan semangat juang yang tinggi,” ujar TPTD selepas menyaksikan acara Serah Terima Tugas Pengerusi Sukan TD yang diadakan di Wisma Perwira TD, Kem Perdana Sungai Besi pada 5 Ogos 2026.
Menurut beliau, setiap pengerusi bukan sahaja bertanggungjawab mengurus pentadbiran persatuan, malah berperanan membentuk budaya kecemerlangan, melahirkan atlet berdaya saing serta memastikan pengurusan persatuan dilaksanakan secara cekap, telus dan berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kejayaan TD muncul sebagai juara keseluruhan Pertandingan Antara Perkhidmatan 2025 selepas penantian selama 18 tahun.
“Mempertahankan kejuaraan lebih mencabar daripada mencapainya. Jadikan kejayaan ini sebagai penanda aras untuk terus meningkatkan prestasi, memperkukuhkan pengurusan persatuan serta merancang pembangunan atlet secara sistematik,” katanya.
Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pengerusi persatuan yang menamatkan perkhidmatan atas jasa, kepimpinan dan dedikasi mereka dalam membangunkan sukan TD.
Beliau yakin dengan kepimpinan yang mantap, semangat yang tinggi serta usaha berterusan, sukan TD akan terus unggul dan disegani.
Turut hadir, Panglima Latihan TD, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid merangkap Timbalan Pengerusi LSTD, Asisten Ketua Staf G1, Mej Jen Dato’ Azudin Hassan Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Hj Mohd Shauari Hj Mat Piah dan Panglima 10 Briged (Para), Mej Jen Datuk Khairul Anwar Soib.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran



