PERAK: Dentuman kuasa udara, deruman aset maritim dan ketangkasan pasukan khas mewarnai Perbarisan Tempur Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sempena Sambutan Hari ATM Ke-93 yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut pada 19 Sep 2026.
Demonstrasi tempur yang melibatkan pesawat SU-30MKM, FA-18D, A400, C130, helikopter EC725, Super Lynx dan MD 530G, selain aset maritim serta pasukan khas ATM, menampilkan keupayaan operasi bersepadu yang merangkumi serangan udara, penerjunan, manuver maritim, operasi menyeamat tebusan dan penggempuran sasaran.
Selain itu, aspek kesiagaan turut diberi pengiktirafan menerusi penyampaian Anugerah Kesiagaan Panglima Angkatan Tentera (AKPAT) kepada 10 Briged (Para), Markas PASKAL dan Pangkalan Udara Gong Kedak yang berjaya mengekalkan tahap kesiagaan serta keupayaan operasi yang ditetapkan.
Penghargaan tersebut mencerminkan kepentingan kesiapsiagaan pasukan dalam memastikan ATM sentiasa bersedia melaksanakan amanah pertahanan negara.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Malek Razak Sulaiman berkata, ketahanan ATM bukan sekadar kemampuan untuk bertahan, malah merangkumi keupayaan untuk bangkit daripada cabaran, menyesuaikan diri serta bertindak secara berkesan dalam apa jua keadaan.
“Ketahanan ATM mesti dibina secara menyeluruh meliputi minda, sistem, warga, keupayaan serta hubungan strategik,” katanya semasa menyampaikan perutusan sempena Perbarisan Hari ATM Ke-93.
Perbarisan berkonsepkan tempur statik ini melibatkan lima detasmen daripada ketiga-tiga perkhidmatan yang berkekuatan seramai 22 pegawai dan 437 anggota LLP diketuai oleh Kdr Mohd Firdause Aziz TLDM dengan diiringi Gabungan Pancaragam Pusat ATM.
Menurut PAT, usaha transformasi ATM menuju 2030 turut memberi tumpuan kepada pembentukan warga berakhlak dan berintegriti, pengukuhan tata kelola, pembangunan Angkatan Masa Hadapan serta kesiagaan merentas domain darat, maritim, udara, siber dan elektromagnetik.
Transformasi berkenaan turut menekankan penguasaan teknologi, pembangunan keupayaan secara menyeluruh serta pembentukan ATM sebagai joint warfighting force.
Beliau turut menyeru seluruh warga ATM supaya berani berubah, meninggalkan amalan yang tidak lagi relevan dan sentiasa mengutamakan kepentingan negara.
“Kita mesti berani membuat perubahan dan meletakkan kepentingan ATM serta kepentingan negara melebihi kepentingan organisasi atau individu,” tegas beliau.
Dalam pada itu, PAT mengingatkan seluruh warga ATM supaya terus melaksanakan amanah dengan akhlak, integriti, profesionalisme dan keberanian serta memelihara nama baik ATM, rahsia negara, maruah seragam dan kepercayaan rakyat.
“Di mana jua kita ditempatkan, laksanakanlah tugas dengan penuh kehormatan, ikhlas dan rasa tanggungjawab,” katanya.
Sambutan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber yang diketuai oleh Pengarah Perisikan Strategik, Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO), Brig Jen Datuk Hj Abd Razak Hj Sipit.
Komitmen terhadap pembangunan dan pemerkasaan organisasi turut dizahirkan menerusi peluncuran beberapa dokumen strategik dan tadbir urus ATM, antaranya Direktif Pembangunan ATM 2026-2030, Dokumen Kajian Separuh Penggal Strategi Ketenteraan Negara 2.0 serta dokumen 4th Dimension Malaysian Armed Forces Plus.
Dalam masa sama, aspek kebajikan turut diberi perhatian menerusi Program Jelajah Wira MADANI dan majlis ramah mesra bersama anggota cedera, veteran serta waris berstatus sakit kronik, psikiatri, balu, anak yatim dan orang kurang upaya, sekali gus memperlihatkan keprihatinan ATM terhadap warga yang telah berkorban serta keluarga yang memerlukan perhatian.
Karnival Hari ATM Ke-93 yang turut dibuka kepada pengunjung melengkapkan sambutan menerusi pameran, demonstrasi, persembahan dan pelbagai aktiviti yang mendekatkan masyarakat dengan peranan serta keupayaan ATM.
Sambutan ini bukan sekadar memperagakan kekuatan tempur, sebaliknya menzahirkan ketahanan sebuah angkatan yang dibina atas kesiagaan, disiplin, profesionalisme dan semangat pengorbanan.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Sri Azhan Md Othman, Panglima Tenters Laut, Laksamana Tan Sri (Dr.) Zulhelmy Ithnin dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan Aris TUDM.
Gambar: LKpl Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir, Pbt Nanatasha Ngadan & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran





