MELAKA: Pegawai dan anggota yang menyertai Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKM TD) 2026 merupakan kelompok penembak terbaik yang mewakili pasukan dan formasi masing-masing, sekali gus menjadi platform penting dalam mencungkil serta memperkasa bakat penembak berkemahiran tinggi dalam TD.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman berkata, penyertaan dalam pertandingan berprestij tersebut bukan sekadar medan untuk menguji tahap kemahiran menembak, sebaliknya turut menjadi wadah bagi memperkukuh disiplin, ketepatan, keselamatan, daya saing, setiakawan serta profesionalisme warga TD.
Beliau turut menyeru agar setiap peserta tidak menjadikan pertandingan tersebut sebagai satu pencapaian peribadi semata-mata, sebaliknya membawa pulang segala ilmu, pengalaman dan pengajaran yang diperoleh untuk dikongsikan bersama warga TD di pasukan dan formasi masing-masing.
“Daripada kira-kira 1,800 pegawai dan anggota yang terlibat pada tahun ini, kita mahu melihat puluhan ribu lagi warga TD menerima manfaat daripada pertandingan ini.
“Sepanjang pertandingan ini, saya pasti pelbagai pemerhatian dan pembelajaran telah anda semua lihat, peroleh dan lalui sama ada dari aspek penganjuran, pentadbiran, kemahiran, keselamatan, latihan, setiakawan mahupun pelbagai aspek lain, bawalah pengalaman ini kembali ke pasukan dan formasi masing-masing,” ujar beliau.
Menurut beliau, perkongsian ilmu dan pengalaman merupakan elemen penting dalam memastikan kemahiran yang diperoleh sepanjang pertandingan dapat terus diperkasakan serta memberi manfaat yang lebih meluas kepada organisasi.
“Ilmu yang ada pada diri anda pada hari ini hanya akan dapat dikekalkan sekiranya ia dikongsikan bersama warga TD yang lain.
“Ingatlah bahawa anda semua merupakan kebanggaan formasi masing-masing kerana hanya yang terbaik sahaja diberi peluang untuk berada di pentas pertandingan sebegini.
“Gunakan segala pengalaman dan pelajaran yang diperoleh pada tahun ini untuk memastikan anda kembali dengan kemahiran dan persiapan yang lebih rapi pada masa akan datang,” tegas beliau ketika berucap pada Majlis Penutup UKM TD 2026 di Kompleks Lapang Sasar 400 Meter, Kem Terendak.
Dalam pada itu, PTD turut menegaskan bahawa UKM TD 2026 mempunyai nilai strategik sebagai salah satu platform persediaan bagi menghadapi ASEAN Armies Rifle Meet (AARM) yang bakal dianjurkan oleh Malaysia tidak lama lagi.
“UKM TD pada tahun ini juga menjadi satu ruang penting buat kita mempersiapkan diri bagi mengahadapi AARM yang akan kita anjurkan tidak lama lagi.
“Saya mahu ruang ini dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pihak penganjur dan juga pasukan yang akan mewakili Tentera Darat kelak,” ujar beliau.
Penganjuran UKM TD 2026 menyaksikan persaingan sengit antara peserta yang mewakili pasukan dan formasi masing-masing dalam menguji ketepatan, kecekapan serta penguasaan kemahiran menembak pada tahap yang ditetapkan.
Bagi Kategori Raifal Jatuh Piring, Trup TD 2 (Tim 1) muncul sebagai juara, manakala Trup TD 2 (Tim 2) menduduki tempat kedua dan Trup TD 1 berada di tempat ketiga.
Bagi Kategori Keseluruhan Wanita Trup TD 2 dinobatkan sebagai johan, diikuti Trup TD 1 sebagai naib johan dan Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Div) di tempat ketiga.
Bagi Kategori Keseluruhan Unit Kecil, Trup TD 1 merangkul kejuaraan, manakala Trup TD 2 mendapat tempat kedua dan 2 Div di tempat ketiga.
Dalam Kategori Keseluruhan Unit Besar pula, Trup TD 1 dinobatkan sebagai johan, diikuti Trup TD 2 di tempat kedua dan Pemerintahan Latihan & Doktrin TD di tempat ketiga.
Bagi Kategori Keseluruhan Formasi UKM TD 2026, Trup TD 1 dinobatkan sebagai juara keseluruhan, manakala Trup TD 2 muncul sebagai naib juara dan 4 Div menduduki tempat ketiga.
Pada masa yang sama, pertandingan menembak turut melibatkan penembak jemputan daripada Tentera Udara Diraja Malaysia, Johor Military Forces, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia serta penembak yang terdiri daripada pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia.
Bagi Kategori Jaguh Keseluruhan UKM TD 2026, Lt Ahmad Kusyairi Abdul Razak dari Trup TD 1 dinobatkan sebagai Jaguh Keseluruhan, manakala Kpl Mohd Fariez Ikhmal Zulkepli dari Trup TD 2 muncul sebagai naib johan dan Sjn Mohd Sofian Abd Samad dari Trup TD 2 menduduki tempat ketiga.
Di masa yang sama, penganjuran UKM TD 2026 turut berjaya mengenal pasti bakat-bakat baharu dalam kalangan warga TD apabila seramai tiga pegawai dan 52 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) akan dipilih bagi menjalani Latihan Pusat dan Pemilihan Akhir untuk membentuk pasukan yang bakal mewakili TD ke AARM yang dijadualkan berlangsung pada 30 Okt hingga 19 Nov 2026.
Pencapaian tersebut bukan sahaja mencerminkan tahap penguasaan kemahiran menembak warga TD, malah memperlihatkan kesinambungan usaha melahirkan penembak berkemahiran tinggi yang mampu membawa nama TD di peringkat antarabangsa.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Malek Razak Sulaiman, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Muhamad Norazlan Aris TUDM, Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal, Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi, Ketua Staf TD, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar serta Panglima 3 Div selaku Formasi Pengelola UKM TD 2026, Mej Jen Datuk Hj Sani S Omar.
Gambar : Sjn Mohamad Ammirul Ashraf Asri, Kpl Kenny Roy Jellis & Kpl Mohammad Fadzil Akirul




