KUALA LUMPUR: Seramai 15 pegawai dan 305 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Tentera Darat (TD) yang mengisi empat Detasmen Perbarisan terlibat dalam Perbarisan Penghargaan Pegawai Kanan TD Gabungan Siri 2/2026 yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD), Lt Kol Norshahidin Long dan diiringi Pancaragam Pusat RAMD dan Rejimen Renjer Diraja (RRD) bertempat di Dataran Panglima Tentera Darat pada 22 Sep 2026.
Perbarisan ini berkonsepkan Perbarisan Berjalan Lalu, telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD) yang diadakan bersempena persaraan kepada enam Pegawai Kanan TD antaranya Mej Jen Dato’ Hj Zambery @ Jefry Hj Darus, Mej Jen Dato’ Hj Hashim Hj Osman, Mej Jen Hj Abdul Jalal Zaidi Abdul Mutalib, Brig Jen Azhar Ahmad, Brig Jen Ts. Hj Roslan Mat Saad dan Brig Jen (Dr) Hj Normah Hj Samsuri.
Dalam ucapan TPTD, beliau merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada keenam-enam Pegawai Kanan diatas jasa, khidmat bakti dan taat setia yang dicurahkan sepanjang empat dekad berkhidmat demi agama, bangsa dan watan.
Menurut beliau, penganjuran perbarisan berkenaan merupakan tanda penghormatan terhadap sumbangan serta jasa kesemua tokoh berkenaan, selain menjadi sumber inspirasi kepada warga TD untuk meneladani perjalanan kerjaya mereka.
“Sesungguhnya, mereka adalah tokoh-tokoh hebat yang telah mengabdikan diri kepada negara serta sentiasa meletakkan kepentingan perkhidmatan mengatasi kepentingan peribadi, bekerja tanpa mengejar pujian dan populariti serta menjadikan amanah sebagai tanggungjawab tertinggi.
“Inilah contoh terbaik ‘service before self’ yang wajar kita teladani sebagai generasi pelapis organisasi keramat ini,” katanya.
“Tiada yang lama, maka tiadalah yang baharu. Hakikatnya, kecemerlangan TD pada hari ini terbentuk atas pengorbanan dan kesetiaan mereka yang terdahulu.
“Saya berasa bangga melihat warga TD daripada segenap lapisan hadir berhimpun di padang kawad ini bagi menzahirkan semangat esprit de corps yang menjadi lambang kesatuan dalam memberikan penghormatan kepada enam tokoh Pegawai Kanan TD ini,” ujar TPTD.
Menelusuri latar belakang enam tokoh Pegawai Kanan ini, Mej Jen Dato’ Hj Zambery @ Jefry Hj Darus mula berkhidmat pada 1986 dan telah ditugaskan sebagai Pegawai Muda di 3 RAMD dan pernah menggalas beberapa jawatan penting seperti, Pegawai Memerintah 2 RS, Panglima 5 Bgd, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran dan jawatan terakhir adalah sebagai Ketua Staf Am Markas Pemerintahan Medan Timur TD.
Mej Jen Dato’ Hj Hashim Hj Osman telah ditauliah pada 1987 sebagai Pegawai Muda di 2 RRD dan turut pernah menjawat jawatan penting seperti Pegawai Memerintah 5 RRD, Panglima 13 Bgd dan Ketua Pengarah di Markas TD – G3/G7 sebelum bersara.
Mej Jen Hj Abdul Jalal Zaidi Abdul Mutalib telah ditauliahkan pada 1987 dan ditempatkan di 9 RAMD serta pernah menjadi Pegawai Memerintah di 8 RAMD, Panglima 31 Bgd dan Asisten Ketua Staf G5 di Markas TD sebagai jawatan terakhir.
Brig Jen Azhar Ahmad telah memulakan tugas pada tahun 1987 sebagai Pegawai Muda di 10 RRD serta pernah menjadi Pegawai Memerintah di 4 RRD dan jawatan terakhir beliau adalah Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin TD.
Brig Jen Ts. Hj Roslan Mat Saad telah ditauliah sebagai Pegawai Muda Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) dan telah mencurahkan khidmat bakti serta kepakaran dalam pelbagai jawatan penting sepanjang kerjaya termasuk Pegawai Memerintah 71 Worksyop Divisyen dan Pengarah Op Logistik di Markas TD – G4.
Brig Jen (Dr) Normah Samsuri telah bermula sebagai Pegawai Memerintah Pusat Pergigian Angkatan Tentera Terendak pada tahun 1993 dan pernah menjadi Ketua Pengarah Pergigian di Markas Pemerintahan Medan Barat TD dan jawatan terakhir yang disandang adalah sebagai Pakar Pergigian Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.
Acara kemudian diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada semua Pegawai Kanan yang diraikan serta acara Street Lining sebagai simbolik penamatan perkhidmatan mereka.
Turut hadir, Panglima Medan Barat TD merangkap Pengerusi RAMD, Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal, Pengerusi Kor Kesihatan Diraja, Lt Jen (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh, Pengerusi RRD, Mej Jen Shamsor Hj Jaafar, Pengerusi KJLJD, Mej Jen Dato’ Ts. Shafiq Poh Abdullah dan Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Hj Mohd Shauri Hj Mat Piah.
Gambar: Sjn Mohamad Ammirul Ashraf Asri, Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran


