KUALA LUMPUR: Kenaikan pangkat bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya menjadi tanda kepercayaan Tentera Darat (TD) terhadap keupayaan pegawai dalam memikul amanah dan tanggungjawab kepimpinan yang lebih besar.
Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman menegaskan bahawa tanggungjawab seorang pemimpin bukan hanya meliputi aspek latihan, operasi dan pentadbiran, malah turut merangkumi pembangunan serta kebajikan anggota di bawah pimpinan.
“Anak-anak buah di bawah naungan saudara dan saudari bukan sekadar fizikal dengan nombor tentera semata-mata, tetapi mereka adalah insan yang mempunyai jiwa, emosi serta harapan,” ujar beliau.
Beliau turut mengingatkan pegawai yang dinaikkan pangkat agar sentiasa memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tugas dan menjadikan kecemerlangan sebagai budaya, selain menjadi contoh kepada anggota melalui disiplin dan integriti.
“Jika kita mahukan anggota bawahan yang berdisiplin dan berintegriti, maka kita yang pertama seharusnya menunjukkan tingkah laku dan disiplin tertinggi,” tegas PTD selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai-Pegawai TD di Wisma Perwira TD pada 25 Sep 2026.
Majlis ini menyaksikan seramai 30 pegawai TD dinaikkan pangkat didahului dengan Brig Jen Log. Muzafar Shah Mosam Shah yang dinaikkan pangkat Mej Jen dan kekal menjawat jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Logistik, MK TD – G4.
Seterusnya, tiga pegawai dinaikkan ke pangkat Brig Jen melibatkan Kol Mazuhir Md Amin yang menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Perancangan, MK TD – G5, manakala Kol Mohd Nizar Hj Yusof menjawat jawatan sebagai Ketua Staf Operasi dan Latihan, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD) serta Kol Mohd Nadzri Samiran @ Jumiran menjawat jawatan sebagai Timbalan Panglima Logistik TD.
Selain itu, dua pegawai dinaikkan ke pangkat Kol, 21 pegawai dinaikkan ke pangkat Lt Kol manakala seorang Pegawai Kadet dan dua pegawai Senarai Tugas Ikhtisas (STI) ditauliahkan pangkat Lt M.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.
Gambar: Kpl Mohammad Shukri Suhaimi & Pbt Nanatasha Ngadan



