MELAKA: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Seri Hj Malek Razak Sulaiman dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Briged (Para) oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman di Dataran Parawood, Batalion Kelapan Rejimen Renjer Diraja (8 RRD (Para)) pada 9 Okt 2026.
Ketibaan PAT disambut oleh Panglima 10 Bgd (Para), Mej Jen Datuk Khairul Anwar Soib sebelum dibawa ke Dataran Parawood bagi menyaksikan Demonstrasi Keupayaan Tempur ketumbukan 10 Bgd (Para).
Demonstrasi dimulakan dengan aksi penerjunan bebas menggunakan Sport Accuracy PD Zero dari ketinggian 5,000 kaki dengan menggunakan pesawat AW139, diikuti demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS), Renang Tempur, Tactical Combat and Casualty Care (TCCC), Latihan Menara, Sniper Insertion, tembakan artileri medan dan pertahanan udara serta Serangan Seksyen sebelum diakhiri dengan persembahan Human Wave oleh ketumbukan Leading Para Battle Group (LPBG).
Majlis diteruskan dengan penganugerahan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat 10 Bgd (Para) kepada PAT sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan, keterampilan, kewibawaan dan kecemerlangan beliau sepanjang menerajui Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Acara turut diserikan dengan persembahan Para War Dance atau Tarian Perang yang melambangkan keberanian dan semangat juang seorang pahlawan, sekali gus menjadi penghormatan kepada PAT.
Terdahulu, PAT mengadakan lawatan kerja ke Markas 10 Bgd (Para) dan menerima taklimat berkaitan perkara G, A dan Q yang disampaikan oleh Panglima 10 Bgd (Para).
Lawatan tersebut turut memberi peluang kepada PAT meninjau sendiri keupayaan atur gerak 10 Bgd (Para) selaku Pasukan Atur Cepat (PAC), khususnya dari aspek pembangunan ketumbukan dan kesiagaan pasukan.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Panglima Medan Timur Tentera Darat dan Pemangku Ketua Staf Tentera Darat.
Gambar: Sjn Mohamad Ammirul Ashraf Asri, Kpl Mohammad Fadzil Akirul dan Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran.




