KUALA LUMPUR: Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, selaku Kolonel Yang Dipertua Rejimen Renjer Diraja (RRD), berkenan mencemar duli menyaksikan Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Syed Putra 2026 bertempat di Padang Bola Sepak A, Kementah pada 26 Jun 2026.
Sebelum sepak mula, majlis dimulakan dengan perarakan masuk kedua-dua pasukan bersama barisan pengadil sambil membawa Bendera Fair Play yang diiringi Pancaragam Pusat RRD diikuti dengan sembah kenal dan sesi bergambar bersama Duli Yang Maha Mulia Tuanku.
9 RRD memulakan aksi dengan penuh bergaya apabila menguasai perlawanan dengan mendahului 2-0 hasil jaringan Kpl Boniface dan Kpl Harnain, sekali gus memperlihatkan corak permainan yang tersusun, disiplin tinggi serta penyudah yang tajam.
Berbekalkan semangat juang yang tinggi, kebangkitan 10 RRD nyata mengubah rentak perlawanan apabila mereka berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Kpl Mohammad Sharul Ikhwan sebelum Kpl Muhammad Hidayat menyamakan kedudukan, memaksa perlawanan ditentukan melalui sepakan penalti.
Dalam aksi penentuan sepakan penalti yang mendebarkan, barisan 10 RRD mempamerkan ketenangan dan ketepatan apabila berjaya membenam 9 RRD dengan 4 gol berbalas 1 mengesahkan kemenangan 10 RRD sekaligus berjaya menjulang Piala Syed Putra 2026.
Pada majlis penyampaian hadiah, Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis berkenan menyempurnakan penyampaian trofi kejuaraan kepada 10 RRD serta mengurniakan Anugerah Penjaring Terbanyak kepada Kpl Hamizan dari 9 RRD manakala Anugerah Pemain Terbaik menjadi milik Kpl Muhammad Hidayat dari 10 RRD atas persembahan cemerlang beliau sepanjang perlawanan.
Final Piala Syed Putra 2026 bukan sekadar menentukan juara, malah menjadi pentas yang memperlihatkan semangat juang, keberanian dan kebersamaan yang menjadi identiti warga RRD.
Kebangkitan 10 RRD daripada ketinggalan dua gol sehingga menjulang trofi akan terus dikenang sebagai antara episod paling dramatik dalam sejarah kejohanan ini.
Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman, Pengerusi RRD, Mej Jen Dato’ Shamshor Hj Jaafar serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Noor Azman Abdul Rahman.
Gambar : Kpl Mohammad Fadzil Akirul dan LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husien



