Bersama PemimpinSukan

G1 Gah Julang Eagle Cup 2026

KUALA LUMPUR: Markas Tentera Darat – Bahagian Sumber Manusia (G1) dinobatkan sebagai johan Pertandingan Bola Sepak Eagle Cup 2026 selepas menewaskan MK TD – Bahagian Pasukan Simpanan (G8) dengan keputusan empat (4) gol berbalas kosong (0) dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Bola A, Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 1 Okt 2026.

Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman diperkenalkan kepada para pemain sebelum menyempurnakan gimik penyerahan bola kepada pengadil perlawanan sebagai simbolik perasmian perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Pasukan G1 memulakan aksi dengan garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit keempat menerusi Mej Mohamad Syafiq Ramzan yang berjaya menyempurnakan peluang hasil sepakan sudut terus menerjah jaring gol pihak lawan.

G1 yang tidak pernah mencatat rekod kekalahan, terus mengasak kubu pertahanan G8 dan menambah dua lagi jaringan sebelum tamat babak pertama menerusi Kapt Muhammad Iqbal Wafiy Kamaruzaman dan Mej Mohamad Syafiq Ramzan.

Bersambung pada babak kedua, G8 cuba bangkit merapatkan jurang jaringan namun gagal menembusi benteng pertahanan G1, sebaliknya Kpl Noorazmi Rosli menambah gol keempat sekali gus mengesahkan kemenangan G1 dengan keputusan 4-0.

Pada majlis penyampaian hadiah, PTD menyempurnakan penyampaian anugerah kepada pasukan dan pemain yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.

Anugerah Piala Fair Play diberikan kepada G8 atas disiplin dan semangat kesukanan tinggi yang dipamerkan, manakala Kpl Noorazmi Rosli dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan lapan gol keseluruhan dan Mej Mohamad Syafiq Ramzan pula menerima Anugerah Pemain Terbaik.

Sebagai johan keseluruhan, G1 membawa pulang piala pusingan, pingat emas serta cek replika bernilai RM1,000 manakala G8 selaku naib johan menerima pingat perak dan cek replika bernilai RM500.

Penganjuran Eagle Cup 2026 bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat dalam kalangan warga TD, malah turut memupuk semangat berpasukan, disiplin dan kesukanan serta mengeratkan hubungan antara bahagian di bawah MK TD.

Turut hadir, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar dan Asisten Ketua Staf G1, Mej Jen Dato’ Azudin Hassan.

Gambar: Kpl Mohammad Shukri Suhaimi

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button