KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman menerima Kunjungan Hormat daripada Chief of Staff of the Republic of Korea Army, Gen Kim Gyu-Ha di pejabatnya pada 10 Nov 2026.
Ketibaan beliau di Dataran Wisma Pertahanan disambut oleh PTD, lalu menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Mohd Masrur Hidayat Masri.
Selesai istiadat KKU, beliau diperkenalkan kepada barisan pegawai kanan Tentera Darat (TD) sebelum diiringi ke pejabat PTD bagi meneruskan sesi kunjungan hormat.
Kunjungan ini diadakan bersempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia dan menjadi platform penting dalam mempererat hubungan dua hala serta memperluas kerjasama pertahanan antara Malaysia dengan Korea Selatan.
Selain itu, pertemuan ini turut mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memelihara keamanan, kestabilan dan keselamatan serantau.
Sesi kunjungan diakhiri dengan Gen Kim Gyu-Ha menandatangani Buku Lawatan serta pertukaran cendera kenangan bersama PTD sebagai simbol persahabatan dan hubungan erat antara kedua-dua angkatan tentera.
Turut hadir, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar, Asisten Ketuat Staf (AKS) G1, Mej Jen Dato’ Azudin Hassan, AKS G3/G7, Mej Jen Dato’ Mohd Rafi Muhammad dan AKS G5, Mej Jen Dato’ Ts. Reizal Arif Tan Sri Ismail.
Gambar: Kpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran



