Semasa

“You Cannot Lead Others If You Are Broken Inside” – PTD

KUALA LUMPUR: Pangkat yang tersisip di bahu bukan sekadar lambang kedudukan, sebaliknya sarat dengan roh pengorbanan pahlawan terdahulu dan amanah untuk meneruskan tradisi ‘GAGAH SETIA’.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Azhan Hj Md Othman berkata, amanah tersebut perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab, di samping memastikan kesejahteraan diri dan keluarga sentiasa diberi perhatian.

Menurut beliau, TD baru-baru ini dikejutkan dengan beberapa khabar duka pemergian perwira kita dan fenomena kematian mengejut seumpama ini seharusnya menyedarkan kita tentang pentingnya ‘Work-Life Balance’.

“You cannot lead others if you are broken inside,” katanya yang menyifatkan ungkapan tersebut bukan sekadar kata-kata, sebaliknya satu mindset yang perlu diterapkan dalam setiap lapisan warga TD agar aspek kesihatan diri dan kesejahteraan keluarga sentiasa diberi perhatian.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pemakaian Pangkat dan Penyampaian Pisau Tempur Pegawai Kanan TD yang berlangsung di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 10 Ogos 2026.

Dalam pada itu, PTD turut menekankan kepentingan peranan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dalam memperkukuh ekosistem kekeluargaan warga TD.

Katanya, BAKAT bukan sekadar berperanan sebagai sokongan sosial, malah menjadi antara benteng kekuatan rohani dan emosi kepada setiap pegawai serta keluarga mereka.

“Kemenangan tanpa akhlak adalah satu kekalahan yang tertangguh, manakala perjuangan yang didasari nilai murni adalah satu kemenangan yang mutlak,” katanya.

Majlis ini menyaksikan seramai 30 pegawai kanan TD dinaikkan pangkat didahului dengan pemakaian pangkat Brig Jen Dato’ Saiful Bahari Zainol yang dinaikkan ke pangkat Mej Jen dan kini menjawat jawatan sebagai Komandan, Maktab Ketahanan Nasional.

Seterusnya, pegawai yang dinaikkan ke pangkat Brig Jen ialah Kol Zulkinine Yunus yang menjawat jawatan sebagai Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Kol Azizan @ Azizan Long Ji Harun sebagai Panglima Briged Keempat Infantri (Mekanize), Kol Mohamad Tarmizi Hj Waropis sebagai Komandan INSPEKA dan Kol Saiful Azlan Mohamed sebagai Timbalan Panglima Markas Pemerintahan Logistik Tentera Darat.

Sementara itu, tujuh pegawai dinaikkan ke pangkat Kol, manakala 15 pegawai menerima kenaikan pangkat Lt Kol dan tiga Pegawai Kadet dinaikkan ke pangkat Lt M.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohamad Suria Mohamad Saad, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Khairul Azmizal Ahmad Natal dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Ahmad Abu Bakar.

Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein, LKpl Tuan Mohamad Farizal Tuan Dir & Pbt Muhammad Ammar Najmie Misran

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button